Monday, 26 March 2012

Kisah Jacaranda Kita, Episod 3: Musafir di Bumi Subur

,

"Kau boleh tidur ke dalam flight tadi, Aidil? Aku dah nak macam zombie dah ni, tak nyenyak langsung!" Razif bertanya sambil mengeluh. Remaja bertubuh kecil itu datang menghampiri Aidil. Di tangannya ada sepasang kaca mata yang sedang dibersihkan dengan sehelai kain.

"Takdelah nyenyak mana, bolehlah skit-skit." Aidil membalas sambil matanya meliar mencari bagasi.

Pagi itu suasana di lapangan terbang Adelaide kelihatan agak sunyi dan muram. Mungkin mereka adalah antara penumpang terawal yang telah selamat mendarat di lapangan terbang itu. Dan mungkin juga faktor saiz lapangan terbang memainkan peranan, kerana saiz lapangan terbang ini tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Di ruangan mengambil bagasi itu tidak kurang bezanya. Sunyi. Hanya bunyi beberapa kakitangan lapangan terbang bersembang antara mereka.

"Aidil, bag aku dah lalu belum? Rasanya macam dah." Razif bertanya kembali, sambil memakai kaca matanya yang baru sahaja selesai dibersihkan.

"Entahlah, Razif. Aku ni macam tengah mamai lagi ni, bag sendiri pun aku tak berapa nak cam", Aidil menjawab persoalan Razif. Dua sahabat itu termanggu di hadapan conveyor sambil memerhatikan bag-bag orang lain yang sudah keluar dari tempat penyimpanan bagasi. Kelihatan pelajar lain juga sedang menunggu bagasi mereka dan mereka kebanyakkannya kelihatan sedikit letih. Kemungkinan mereka semua menghadapi masalah yang sama seperti Razif yang tidak dapat tidur dengan nyenyak di atas penerbangan.

"Hah! Buat apa tu!"

Aidil dan Razif segera menoleh ke arah belakang mereka.

"La, kau ke Kumar! Aku ingat siapa la tadi!" Razif bersuara sambil tersenyum.

Lelaki india yang tinggi lampai itu merupakan teman seperjuangan mereka berdua di kolej persediaan. Dia hanya mampu tersenyum melihat gelagat dua sahabat itu

"Ha, siapa lagi. Aku la! Kau dengan Aidil macam mana nanti? Ke mana lepas ni? Aku dah ada deal dengan orang local untuk sewa apartment dekat city." Kumar berhenti untuk menghela nafasnya.

"Dan dah ada orang untuk pickup aku dan bawa aku and beberapa orang yang lain ke sana."

"Oh, pasal itu, kami dah hubungi beberapa seniors dekat sini untuk bantu kami. Patutnya diorang dah sampai ni, tapi luggage ni, tak sampai-sampai lagi." Aidil menjawab.

Di Malaysia lagi Aidil telah berhubung dengan beberapa orang seniors di Adelaide memaklumkan ketibaan mereka di sana nanti dan Alhamdulillah, semua seniors sudi menyambut kedatangan mereka ke sini. Walaupun mereka semua tidak pernah bersua, tetapi kesediaan mereka yang telah terlebih dahulu datang ke sini untuk menyambung pengajian untuk menyambut kehadiran junior baru patut dijadikan contoh dan ikutan kepada semua. Aidil merasakan perjalanan musafirnya dipermudahkan oleh Allah swt. Jejaknya kakinya disini sudah ada orang yang datang untuk menjemputnya, dan juga menumpangkannya di rumah buat sementara waktu.

Setelah selesai mengambil bagasi masing-masing, Razif, Aidil serta beberapa lagi pelajar keluar dari ruang menunggu bagasi menuju ke ruang menunggu penumpang. Kelihatan beberapa orang lelaki sedang melambai-lambaikan tangan mereka ke arah mereka.

"Assalamualaikum! Camne dengan flight tadi? Okay ke semua?" salah seorang lelaki yang melambai-lambai tadi datang menghampiri.

"Waalaikumussalam, flight tadi okay je. cuma tak nyenyak tido. Abang semua ni seniors yang saya contact tempoh hari tu ke?" Aidil bertanya kerana mahukan kepastian.

"Ye, kamilah seniors tu. Nama saya Ubaid, pelajar perubatan tahun ke-3 dan yang ini Ifwat." Ubaid yang bertubuh kecil itu menunjukkan ke sisinya.

"Ifwat Ghaisan bin Ahmad Hamidi to be exact atau Ifwat sahaja." Pemuda berkumis dan berjanggut nipis itu tersenyum. Barangkali teruja melihat kehadiran para pelajar yang bakal menambahkan bilangan penduduk Malaysia di Adelaide.

"Kamu semua ni tajaan JPA ke?" Ifwat menyambung dengan persoalan.

"Haah bang, semua ni pelajar tajaan JPA" Razif menjawab. Tangganya meliar menujukkan beberapa kumpulan belajar yang berkeliaran di sekitar lapangan terbang.

"Tak perlulah abang-abang ni, rasa tua sangat pulak, panggil je nama. Lagi rasa dekat kan?" Ubaid mencelah sambil tersenyum lebar ke arah Aidil dan Razif.

"Baiklah, Ubaid, Ifwat." Aidil membalas dengan senyuman menandakan sebuah persafahaman telahpun tercapai.

Matahari mula mengorak langkah ke ufuk barat. Perlahan-lahan Sang Mentari merangkak, ingin pulang ke tempat rehatnya. Dan seperti Sang Mentari itu, kedua-dua remaja itu pun pulang mengikuti seniors yang baru sahaja mereka temui. Semakin lama, mereka menjauhi lapangan terbang, dan mula memasuki kawasan perumahan yang dipanggil suburb. Walaupun musim ketika itu adalah musim panas, tetapi anginnya tetap dingin seperti bayu yang lembut sehingga terasa seolah-olah dihembus khas buat mereka.

Aidil hanya terdiam disepanjang perjalanan kerana keletihan, tetapi matanya masih aktif melihat suasana pada hari itu. Dia merasakan perjalanannya bermusafir di negara orang, menuntut ilmu sebagai tuntutan ibdah dipermudahkan oleh Allah swt. Dia yakin benar pertemuan meraka buat kali pertama ini bukanlah sebuah pertemuan yang sia-sia, malah akan menjadi sebuah pertemuan yang menjanjikan kelainan dalam persahabatan.

Kereta merah itu meriah dengan pelbagai soalan dari Razif yang tidak henti-henti bertanyakan pelbagai perihal. Ubaid dan Ifwat pula tidak letih menjawab satu persatu soalan yang ditujukan kepada mereka. Kadangkala diselitkan dengan senyuman, mungkin mengingatkan kembali sewaktu mereka pertama kali tiba di bumi Adelaide ini.

Dalam kerancakan Razif, Ubaid dan Ifwat bersembang, Aidil teringat kembali akan kuliah agama yang dihadirnya setiap hari selasa di surau kampungnya. Kuliah yang seringkali dipenuhi dengan masyarakat setempat kerana penceramahnya adalah seorang yang mudah didekati malah disayangi kerana sikapnya yang prihatin terhadap masyarakat di sekelilingya.


"Maksudnya, wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah, apabila Engkau mengkehendakinya."

"Sesungguhnya, kita manusia ni hamba yang amatlah lemah dan menjadi sunnahtullah untuk para hambanya yang soleh mendapat ujian dari masa ke semasa. Masakan ada yang boleh mengakui keimanannya sedangkan dia masih belum diuji." Ustaz Hamdan menyambung lagi.

"Dalam ayat ketujuh surah al-kahf, Allah berfirman "Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya."

Para hadirin pada malam itu senyap, memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampai dihadapan. Hanya tawa dan tangisan kanak-kanak kecil dapat didengari memecahkan kesunyian malam itu.

"Allah swt sudah mengetahui tahap keimanan dalam diri masing-masing, dan ujian itu datang untuk menunjukkan kembali kepada setiap manusia sama ada dia betul-betul beriman ataupun tidak. Jika imannya kurang, maka dia harus sedar yang dia harus tingkatkan kembali tahap keimanannya terhadap Allah swt dengan mengambil langkah-langkah pemulihan."

"Dil, kau ni kenape? Senyap je ni?" Razif memegang bahu kanan Aidil.

Aidil tersentap dari lamunannya.

"Hah? Takde ape. Tengah fikir-fikir skit je tadi." Aidil menjawab, sambil tersenyum ke arah Razif.

Razif kembali menyambung perbualannya dengan Ubaid dan Aidil kembali terdiam melihat keluar cermin kereta. Ini baru permulaannya di negara orang, dan dia mendoakan supaya dipermudahkan baginya untuk setiap perkara dan ujian yang bakal menemuinya pada masa yang akan datang.

Saturday, 18 February 2012

Duit bukan Isunya.

,
"Abang! Abang!" ada suara budak memanggil saya dari belakang.

Saya menoleh. Rupa-rupanya seorang budak lelaki yang saya kira berumur dalam lingkungan 10-12 tahun. Dia menghampiri saya sambil mengambil sesuatu dari beg galas hitamnya itu.

"Ada apa ya?" saya bertanya kembali. Budak lelaki itu berpakaian kemas. Baju kemeja sambil di tuck-in ke dalam seluar dan di kepalanya kepiah berwarna putih salju.

"Saya dari Madrasah *********, nak mintak sikit bantuan kewangan untuk bina madrasah kami." dia menerangkan sambil tersenyum.

Sesuatu yang kurang enak dengan transaksi ini. Tetapi saya tidak mahu bersikap skeptikal. Duit itu ke mana bukan urusan saya. Itu urusan si penerima dan Allah swt.

"Oh, boleh saja. Tapi, nak tanya skit.. kamu tak sekolah ka?" saya cuma mahukan kepastian.

"Sekolah la bang, pagi pi sekolah, petang mai la duk mintak derma." dia membalas ringkas.

Saya tersenyum sambil mengeluarkan dompet lalu menghulurkan beberapa wang kertas kepadanya.

"Yang ini untuk madrasah kamu, yang lagi satu ni untuk kamu. Mesti penat kan tengah-tengah panas macam ni?"

"Terima kasih bang!" dan dia masih berdiri di situ.

Saya mula mengorak langkah ke destinasi dan selang beberapa kali saya akan menoleh kembali ke belakang untuk melihat telatah si budak itu. Nampaknya di hadapan bank adalah tempat yang amat strategik untuk mengemukakan sebarang bantuan.


Dan terus terang, ini bukanlah pengalaman pertama saya, dan juga bagi ahli keluarga saya. Nampaknya aktiviti budak "madrasah" ini menular ke setiap penjuru di Alor Setar ini. Di pasar basah sewaktu pagi tadi, dan juga di hadapan sebuah kedai runcit pada pukul 9 malam. Iya, pukul 9 MALAM dan esoknya adalah hari sekolah. Budaknya berlainan setiap kali saya berselisihan. Ada juga kanak-kanak perempuan.

Terus terang, saya tidak kisah mengeluarkan duit, cuma saya rasa dengan menggunakan kanak-kanak atau murid-murid sekolah untuk meminta derma adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral dan tidak kena dengan etika sebenar penubuhan sesuatu sekolah/madrasah.

Bayangkan di waktu panas terik kanak-kanak dibiarkan berkeliaran meminta derma? Tak kira lagi di waktu malamnya? Bukankah mereka ini anak-anak yang perlu disekolahkan? Di manakah waktu mereka belajar dan mengulangkaji pelajaran? Bersukan dan beriadah? Dan juga berehat?


Kalau itu sebetulnya sebuah institusi yang menekankan pembelajaran sudah pasti kanak-kanak ini tidak akan merayau untuk meminta derma tambahan lagi pada waktu-waktu yang amat meragukan.

Oleh itu saya menyeru kepada pihak yang berkuasa, bertanggungjawab untuk menyiasat aktiviti kanak-kanak ini. Benarkah untuk 'madrasah' tercinta mereka ataupun untuk kepentingan mana-mana individu yang mengambil peluang terhadap kanak-kanak yang masih lemah ini?

Seharusnya perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana ianya dapat memalukan kita sebagai seorang Islam.

Di manakah penghargaan dan kasih sayang yang sepatutnya kita curahkan kepada kanak-kanak itu? Sebaliknya mereka dikerah untuk memungut derma atas dasar nama sekolah Islam dan amatlah tidak logik jika derma diminta pada waktu-waktu yang kurang enak bagi kanak-kanak yang masih bersekolah itu.

Dan saya percaya, bukan hanya di Kedah sahaja perkara seperti ini sedang berlaku.

P/s: I'm going back tomorrow. Doakan kesalamatan saya. :)

Thursday, 5 January 2012

Kisah Jacaranda Kita, Episod 2: Agamaku Agamaku, Agamamu Agamamu!

,

"Isyarat tali pinggang keledar telah pun dinyalakan, para penumpang dinasihatkan supaya berada di tempat duduk sehingga lampu isyarat tali pinggang keledar dipadamkan."

Suara lembut wanita itu kembali bergema tetapi kali ini dalam bahasa inggeris. Aidil membelek tali pinggang keledarnya sambil memastikan ia dirapikan dengan kemas. Gusar, kerana ini adalah pengalaman pertama baginya menaiki kapal terbang.

Suasana di dalam kabin itu sunyi, kadang kala ada suara sumbang dengkuran orang yang telah nyenyak tidur berbunyi memecahkan kesunyian. Jarum jam di skrin di hadapannya menunjukkan pukul 2 pagi. 2 pagi Malaysia ataupun Australia, Aidil sudah hilang kiraannya. Tetapi kalau menurut peta yang terpampang di hadapan kabin, mereka telah pun berada di perairan Lautan India. Dia cuba memejamkan matanya kuat-kuat. Rasa letih tidak membantunya ingin tidur, barangkali perasaan resah yang melanda dirinya. Pemergiannya membawa seribu satu perasaan gundah. Bagaimana kedaan ibunya nanti yang terpaksa bersendirian di rumah ketika abang long dan kak ngahnya masing-masing sibuk dengan tugasan mereka? Siapakah yang akan menjaga perempuan tua itu? Makan minumnya? Hanya Allah swt sahajalah tempatnya bergantung supaya ibunya diperlihara selalu.

Dia cuba untuk tenang, lalu melihat keadaan kabin sambil memerhati gelagat penumpang yang ada.

Di sebelah kanan Aidil, seorang lelaki Inggeris tua sedang santai sambil mendengar musik dari alat pemain musiknya. Rambut perangnya kelihatan bersinar walaupun di dalam kabin itu, keadaannya sedikit gelap. Hanya beberapa lampu dipasang di sepanjang kabin pesawat boeing 747 itu untuk memudahkan para penumpang untuk tidur sepanjang perjalanan mereka ke Australia, lebih tepat lagi, Adelaide.

Di tengah-tengah kesunyian kabin itu, dia teringat akan kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Hamdan. Kisah seorang pemuda yang amat dikasihi oleh Rasulullah saw.

"Kamu tahu dizaman Rasulullah, ada seorang pemuda yang sangat berani dan pengorbanannya jika dibandingkan dengan kesusahan yang pemuda zaman sekarang pernah alami, memang tiada tandingannya." suara Ustaz Hamdan yang lemah lembut namun tegas itu terngiang-ngiang di sudut kepala Aidil.

"Namanya Usamah bin Zaid, anak kepada Zaid bin Harithah, salah seorang sahabat kepada nabi. Kasih dan sayangnya Rasullullah kepada anak kecil itu setanding dengan kasih dan sayangnya Rasulullah kepada cucunya baginda itu sendiri. Pernah suatu kali ketika Rasulullah sedang duduk beristirahat, cucu baginda Hassan dibenarkan baginda untuk tidur di peha sebelah kanan, manakala dipanggilnya baginda kepada Usamah untuk tidur di bahagian kiri." sambung lagi ustaz yang bertubuh kecil itu.

Seringkali ceramahnya di Surau Kampung Derga dipenuhi oleh orang ramai yang selalu bertandang ke surau kecil itu. Mungkin gaya penyampaiannya yang cukup santai menarik minat ramai orang, terutamanya golongan muda. Mereka suka dengan pendekatan dakwah yang dibawa oleh ustaz tersebut.

"Ketika umurnya masih muda, dia pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menyertai Perperangan Khandak, tetapi ditolak Rasulullah kerana masih kecil. Hah, semasa kamu muda, apa je kehendak kamu yang kamu tak dapat? Tak dapat bag baru? Tak dapat pensil baru? Usamah tak dapat turut serta perperangan!"

Ustaz Hamdan bertanya untuk menarik perhatian yang sedang khusyuk mendengar. Beberapa remaja yang tadinya sedang bersembang-sembang dibahagian belakang surau, kini senyap memberi sepenuh perhatian kepada ustaz. Barangkali terkena dengan komentar yang diberi oleh penceramah itu.

"Semasa perperangan Mu'tah, Zaid bin Harithah diberikan tugas sebagai panglima tentera dan juga sebgai orang yang memengang panji tentera umat Islam yang pada ketika itu sedang berperang dengan tentera Empayar Rom Byzantine. Usamah juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta perperangan itu bersama-sama orang tuanya. Di dalam perperangan itu, dia sendiri menyaksikan dan merasakan betapa peritnya kehilangan seorang ayah. Zaid bin Harithah terkorban ketika cuba mempertahankan umat Islam sambil memastikan panji tentera umat Islam itu tidak jatuh ke tanah. Pada ketika itu, dia masih lagi remaja." ujar Ustaz Hamdan. Surau Kampung Derga itu sunyi, cuma kedengaran bunyi kipas di siling.

"Kita yang masih muda ni, apa je cabaran yang pernah kita alami? Putus cinta? Tidak dapat beli kasut bola baru? Apalah sangat jika dibandingkan dengan Usamah bin Zaid ni! Dia tidak dibenarkan menyertai perperangan tatkala hati membuak-buak untuk berjihad! Ayahnya mati syahid di medan perang! Pemuda ini sepatutnya dijadikan ikon untuk kamu semua berjuang dan bukannya para artis yang bukan-bukan tu!" si ustaz menegaskan kembali kepada para hadirin pada malam itu.

Aidil terdiam sebentar. Apalah sangat pengorbanan yang dia harus buat jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah Usamah bin Zaid lalui. Semoga Allah swt menguatkan dia supaya dapat melalui segala cabaran yang bakal bertandang menyambutnya ketika dia mencecah kakinya di bumi kangaroo itu.

Sedang dia asyik dalam fikirannya itu, seorang pramugari datang menghampirinya. Dia yang tersentak dari lamunannya itu mengalihkan pandangan kepada perempuan itu. Wanita itu hanya senyum, dan ditangannya ada sebotol arak dan sebiji gelas. Dia kelihatannya datang untuk memberi minuman kepada orang Inggeris itu.

"Sir, here is the drink that you've requested," pramugari itu menuangkan segelas wain kepada lelaki tua itu.

Aidil hanya memerhati tingkah laku orang tua itu. Dia kelihatan lebih segar apabila dihidang segelas arak. Ketika wanita itu berlalu pergi, orang tua itu menyapa Aidil.

"Do you wan't some ma' boy?" orang tua itu bertanya. Menurut gaya percakapannya, dia bukanlah orang Australia.

"No, thanks." Aidil menjawab ringkas. Tidakkah dia tahu orang Islam itu tidak dibenarkan minum arak, dan sudah pasti dari riak muka Aidil itu, mustahil bagi orang tua itu tidak mengetahui bahawa Aidil adalah seorang melayu Islam.

"You're a Muslim aren't you? I have lots of Muslim friends, and they drink a lot like me." Orang tua itu berbicara dengan nada separuh mengejek. Dia seolah-olah sedang mengajak Aidil untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Aidil berisgtifar berulang kali. Dia harus mengawal marahnya. Barangkali orang tua itu tidak bermaksud untuk memperlekehkan dirinya sebagai seorang Muslim.

"No, I don't drink. My religion forbids me to do so."

"You are not serious are you? A young man like you being tied up to a such set of strict rules called religion? Huh!"

Orang tua itu mendengus. Dia seakan-akan tidak percaya akan wujudnya pemuda seperti Aidil itu. Dari percakapan orang tua itu, Aidil sudah dapat mengagak bahawa pak cik adalah seorang Atheist. Seorang yang tidak percaya akan kewujudan tuhan yang menciptakan alam dan makhluk. Mereka mempercayai bahawa sesuatu kejadian itu berlaku dengan sendirinya dan di situ adalah kelemahan terbesar bagi mereka yang berfahaman sedemikian rupa.

"I do not worship that you worship, and you do not worship that I worship for you have a faith of your own, and I have mine. A simple verse from the Quran."

Aidil tersenyum. Dia berasa puas dengan jawapannya yang diberikan kepada lelaki itu. Dia cuma mahukan lelaki tua itu memahami yang dia berpegang teguh dengan ajaran Islam dan bukanlah orang yang sembarangan.

Lelaki tua itu tersenyum, mungkin menerima jawapan yang diberikan kepadanya. Dia menghabiskan minumannya lalu kembali mendengar musik di alat pemain musiknya itu.

Aidil kembali menutup mata. Di sudut fikirannya memikirkan perjuangan yang telah dia hadapi, walaupun kecil sekali jika dibandingkan dengan Usamah bin Zaid, dia telahpun berjaya menegakkan pendiriannya sebagai seorang muslim yang berpegang teguh dengan agamanya.

Sepanjang perjalanan itu dia hanya terdiam memikirkan apa lagi yang bakal menantinya di sana. Semoga Allah swt mempermudahkan urusannya.

Thursday, 15 December 2011

Kisah Jacaranda Kita, Episod 1: Permulaan Baru!

,

Tap, tap, tap!

Bunyi papan kekunci ditekan rapi memenuhi segenap ruangan di dalam bilik sederhana kecil itu. Kadangkala berhenti, kadangkala kembali berbunyi. Jam merah di dinding menujukkan pukul 7 pagi. Awal. Jarang sekali penghuni di bilik kecil itu bangun seawal itu. Kelihatan seorang remaja sedang meniarap diatas katil sambil mukanya menghadap ke arah komputer riba. Mata dibulatkan sebulat-bulatnya, cuba menahan dari tertidur. Hari ini adalah hari yang bermakna buat mereka yang telah hampir 1.5 tahun menjalani metrikulasi South Australia Matriculation. Remaja yang bertubuh sederhana itu turut berdebar. Segala titik peluh usahanya yang ditaburkan selama ini bakal diketahui pada hari ini jika ia membuahkan hasil atau tidak. Walau apapun dia mengerti segala yang bakal terjadi sudahpun tertulis oleh Allah swt, dan dia harus redha.

87.25/100

Dia meratapi nombor itu dengan tajam, seolah-olah tidak mempercayainya. Alhamdulillah, hatinya menghela nafas syukur. Yang pasti dengan keputusan yang demikian, dia lepas untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Segala usaha yang ditaburkan berbaloi. Mengulang kaji pelajaran beramai-ramai di bilik bacaan. Membuat buku kira-kira dan bajet bulanan untuk subjek Accounting. Mengira probability dan algebra dalam Mathematics. Mengkaji turun naik mata wang untuk subjek Economics. Menelaah berjela-jela case law untuk subjek Law. Dan tidak dilupakan presentation demi presentation untuk subjek English.

Tanpa berlengah lagi, dia berlari keluar untuk mendapatkan ibunya di dapur.

"Mak!~ Result Dil dah keluar Mak!" remaja itu bergegas ke dapur.

"Result apa ni?" si ibu bertanya kembali.

"Result foundation la mak, nak fly ni!" si anak menjawab kembali. Nadanya semakin galak dengan kegembiraan.

"Hah, macam mana result kamu tu, Aidil? Lepas ke tak?" si ibu bertanya lagi, walaupun dia barangkali sudah dapat mengagak melalui riak wajah Aidil yang tidak dapat disembunyikan lagi.

"Alhamdulillah, Dil lepas mak!"

Aidil menerpa ke arah ibunya sambil dibuka luas tangannya. Dipeluk erat orang tua itu.

"Alhamdulillah, segala yang Dil telah usahakan berbaloi. Bagus jugak Dil dapat study di overseas berbekalkan tajaan. Mak tak mampu nak hantar kamu jauh-jauh nak. Tambah-tambah lagi mak seorang je yang nak tampung kamu semua."ibunya membalas. Nadanya sayu, suaranya terketar-ketar. Air mata mula begenang di kelopak matanya.

"Mak, jangan sedih-sedih macam ni. Dah hampir dua tahun ayah pergi."

Aidil mengesat air mata ibunya yang belum sempat mengalir habis ke pipi.

Pemergian Encik Ghazali masih terasa bagi keluarga itu, terutamanya buat si ibu, Puan Rahmah. Tambahan pula pemergian itu tidak disangka-sangka.

Barah otak. Encik Ghazali meninggal akibat menghidapi barah otak. Ketika keluarga yang lain sedang bergembira menyambut barakahNya di bulan puasa, keluarga Encik Ghazali tidak putus-putus keluar masuk hospital. Ujian dariNya buat hambaNya yang taat. Dan ujian yang datang kepada keluarga mereka adalah dalam bentuk musibah yang tidak dapat dijangka kehadirannya. Pada tanggal 12 November 2008, Encik Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir dan meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak.

Sesungguhnya kematian itu dekat dengan kita, tidak kira umur, waktu dan tempat.

"Mak, ni hari yang gembira la. Senyum la sikit." Aidil cuba menenangkan ibunya.

Puan Rahmah mengukir sebuah senyuman, walaupun kelihatan sedikit terpaksa.

"Barang kamu dah cukup belum? Baju, seluar?" si ibu bertanya, tangannya kembali memotong lobak. "Kalau tak cukup, lepas Asar kita keluar ke pekan, beli." Sebak di dadanya ditahan. Khuatir akan menjejaskan mood di pagi itu.

"Eh, sabar dulu mak, kena meeting dulu dengan para sponsors, baru boleh tahu benda apa nak beli atau bawak ke Australia nanti." Aidil menjelaskan kepada ibunya.

Yang pasti, hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di Australia nanti tercapai. Dan seharusnya Aidil memanjatkan kesyukuran sepenuhnya kepada Allah swt yang memungkinkan segala ini terjadi. Jikalau bukan kerana dengan kehendakNya, mana mungkin ia akan berlaku sedemikian rupa.

--------------------------------------------------------------------------------------

"Semua barang dah ada? Jangan ada yang tertinggal Aidil. Passport, visa, surat tawaran semua dah ada?" si ibu bertanya. Dia membelek-belek bagasi si anak dengan rapi. Takut-takut Aidil terlupa akan barangnya. Aidil bukan ke Kuala Lumpur tetapi ke Adelaide. Kalau ada yang tertinggal, susah juga buat ibu itu untuk mengeposkan kepada anaknya.

"Dah ada mak, semua Aidil simpan dalam beg galas tu." Aidil menunjukkan beg galasnya yang tersadai di sebelah bagasi. Matanya tidak dilepaskan dari cermin. Dia cuba mengikat rapi tali leher itu dengan serapi mungkin. Ketika mengikat tali lehernya, dia teringat kembali perbualan dengan abangnya tempoh hari.

"Aidil, Abang long dengan Angah doakan yang terbaik buat Aidil. Jaga diri di negara orang. Jangan lupa kita ni Muslim, be like one and act like one." Abang Syamil menasihatinya. Ringkas tapi penuh makna.

"Jaga hubungan kamu tu Aidil. Jangan berkawan dengan sembarangan orang. Kita kena berhati-hati, tak kiralah di mana-mana pun." Kak Ila memberi peringatan kepadanya.

"Dah siap ke belum Aidil, jom dah nak lambat ni. Bas pukul berapa?" ibunya bertanya lagi. Risau jika anaknya akan terlepas bas ke Kuala Lumpur.

"Pukul 8.15 mak," bagasinya di angkat ke dalam kereta.

Di sepanjang perjalanan, pelbagai nasihat telah ditaburkan kepada si anak oleh si ibu. Antaranya supaya jangan tinggal solat dan berhati-hati di negara orang. Ibunya khuatir kerana ini adalah kali pertama dia terpaksa berpisah dari anak bongsunya itu, dan kali pertama itulah juga mereka berpisah di antara benua. Hati ibu yang mana tidak pernah risaukan anak-anak.

"Mak, Aidil pergi dulu ya. Doakan Aidil selamat sampai di sana," tangannya memeluk erat tubuh kecil si ibu. Air mata yang ditahannya dari rumah itu tidak dapat dibendung lagi. Pipinya basah dengan linangan air mata.

"Halalkan makan minum Dil mak. Aidil mintak maaf kalau selama ini suka sangat menyusahkan mak. Aidil nak mak tahu yang Aidil tak pernah putus-putus mencuba yang terbaik supaya mak merasa bangga mempunyai anak seperti Aidil."

"Mak tahu tu, dan mak halalkan segalanya. Janji satu perkara dengan mak sebelum kamu pergi."air mata si ibu mengalir tiada henti.

Aidil melepaskan pelukan sambil matanya merenung ke arah muka ibunya. Dia menantikan apakah perkara yang bakal dijanjikannya kepada ibunya.

"Kita ni tak ada harta yang banyak, Dil. Kita cuma ada agama kita. Jagalah diri kamu dekat sana, dan peliharalah diri kamu seperti seorang muslim yang lain. Boleh buat macam tu Aidil?" Ibunya bertanya kembali.

"InsyaAllah boleh, mak. Aidil janji."

Kakinya melangkah ke arah bas. Detik demi detik berlalu, semakin sikit detiknya bersama si ibu. Dia melambai kepada ibunya dari tempat duduknya. Seketika lagi dia bakal meninggalkan bumi Malaysia dan menerjah ke langit Australia. Dan siapa yang bakal tahu apa yang berlaku melainkan Dia yang Maha Mengetahui?

Monday, 12 December 2011

Muda, Tua & Relevannya Dakwah

,

Semalam penulis solat bersama seorang sahabat baik di masjid wandana yang jaraknya tidak begitu jauh dari rumah kami. Solatnya Isya'. Di bumi Adelaide ketika waktu Summer, waktu Isya boleh jadi selewat 10 malam dan waktu Subuh seawal pukul 4 pagi. Ketika hendak masuk ke perkarangan masjid, kami disapa oleh 2 orang kelibat manusia.

"Assalamualaikum brothers! How are you?" seorang hamba Allah memulakan perbicaraan. Penulis lihat dari wajahnya, boleh jadi orang Bangladesh.

"Waalaikumussalam, Alhamdulillah, we're fine," kami menjawab ringkas mungkin barang kali mahu cepat kerana Imam sudahpun memulakan solat.

Sambil berjalan masuk, orang yang bertanya tadi menerangkan bahawa sahabatnya yang satu lagi ini dari Malaysia, Sarawak to be exact. Penulis amati pak cik yang bertongkat itu. Kalau diperhatikan boleh jadi atuk penulis dah dari riak wajahnya. Dalam hati penulis, penulis sudah mengagak siapakah gerangan pak cik dan orang tadi ini. Delegasi Tabligh.

Pak cik dari Sabah itu berkata dengan ringkas "We'll talk later boys," memahami yang bahawa kami semua bergegas untuk solat.

Seusai sudah solat, penulis melihat ke kiri dan ternampak orang Bagladesh itu menyapa sahabat penulis sambil menunjukkan ke beberapa orang di dalam masjid itu. Barangkali menerangkan beberapa orang yang datang bersama dari Malaysia agaknya.

Disitulah kami dikenalkan dengan beberapa lagi delegasi dari Malaysia yang datang dari Melbourne setelah hampir 20 hari di sana. Penulis telah bertemu beberapa orang dari Kedah dan dengan tidak semenanya merasakan dunia ini sangat kecil. Yelah, dari Kedah. Kedah bukanlah negeri yang besar, dan Alor Setar bukanlah kota metropolitan.

Apa yang pasti, penulis kagum dengan semua delegasi ini. Mereka semuanya tua-tua belaka tetapi semangat mereka untuk melakukan dakwah tidak terbatas dek umur sama-sekali. Yang paling kagum pak cik Sabah tu, siap bertongkat bagai. Tongkat pun tongkatlah, janji dakwah dan risalah Rasulullah tertegak di muka bumi ini.

Itu adalah golongan yang tua, bagaimana dengan kita yang masih muda?
Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian. (Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru bin Maimun r.a.)
Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Jadi apakah jawapan kita apabila ditanya kelak nanti?

Wednesday, 30 November 2011

Ikhlas yang dibuat-buat?

,


Mencari keikhlasan dalam setiap perkerjaan adalah suatu perkara yang sudah tentu buat semua orang mukmin yang beriman kepada Allah swt. Ini adalah keikhlasan dalam beribadah, perkerjaan, persahabatan, pembelajaran dan sebagainya boleh menjadi kunci supaya kita lebih dekat kepada Allah swt.

Tetapi sejauh mana kita benar-benar mengikhlaskan diri kita?

Kadang-kadang kita suka merungut ketika ujian melanda ketika kita diamanahkan untuk melaksanakan sesuatu. Kadang-kadang keluhan kita berlebihan tidak berkadar dengan kerja yang diberi. Sesungguhnya Allah swt sahaja yang mengetahui segala isi hati kita, tidak kiralah betapa banyak sekali pun rungutan dan keluhan yang dilontarkan. Sebaiknya kita digalakkan untuk kurang merungut dan berkeluh kerana dikhuatiri menjadi fitnah kepada diri sendiri. Yelah, takut dianggap sebagai seseorang yang tidak ikhlas dalam membuat pekerjaan oleh orang lain.

Inilah manusia, kita lemah dan mudah lelah. Tetapi, apa yang pasti ini bukanlah tiket keemasan buat kita untuk terus menerus berbuat salah. Jadi perbaikilah diri kita, dan latihkan hati supaya menjadi lebih ikhlas, nescaya setiap ibadah yang dilakukan akan mendapat keberkatannya.

Jadi jika anda mahukan keihklasan dalam beribadah, ada beberapa cara yang boleh penulis senaraikan.


  • Jangan hebohkan kebaikan yang dibuat. Hati kita mudah berbolak balik.
  • Check kembali sebab kita berbuat sesuatu supaya niat sentiasa betul.
Semoga kita dapat membetulkan niat dan mengikhlaskan hati dalam setiap perkara. :)

Saturday, 26 November 2011

Usaha & Doa (berpanjangan).

,
Usaha semestinya diselitkan dengan doa dan itulah cara mukmin berkerja. Dan kita hanya doakan yang indah-indah dan itulah yang sepatutnya.

Dalam keluarga Encik Abdul Ghani, kami diterapkan untuk tidak mudah berputus asa, selagi ada cara, we have to try our very best to settle things. If not, boleh la kot mula berserah sepenuhnya kepada Allah swt kerana itu adalah kehendakNya, a way of saying that things happened for a reason. Penulis teringat beberapa kisah yang penulis belajar di bumi Adelaide ini.

One of it is how I struggle to be where I am now, with my friends. Only Allah swt knows how I struggle with them, and definitely how they have to keep up with me and my peculiar nature (at times).

Apabila kita mahukan sesuatu, mestilah wajar kita berusaha bukan? Jangan harapkan selonggok emas dari langit jatuh ke riba dan jangan harapkan doa yang tak seberapa di makbulkan segera. Maksud penulis, usaha dan doa mestila seiring dan juga berterusan.

Apabila berdoa, sebaiknya berdoalah seikhlas hati. Berdoa seperti kita sangat yakin doa akan dimakbulkan tetapi pada masa yang sama, merasakan ia tak akan dimakbulkan oleh Allah swt. Relevannya di sini adalah apabila kita berdoa sedemikian, kita akan meletakkan sepenuh pengharapan kepadaNya kerana sesungguhnya Allah swt adalah tempat bagi kita bergantung dan tidak akan putus-putus berdoa kepadaNya. Semestinya ibadah penuh istiqamah, ikhlas dan kusyuk akan disukai oleh Allah swt.

Tapi kalau sudah dimakbulkan, jangan pula kita lupa diri dan daratan. Because at the end of the day, it is you who receives and it is Allah who gives and definitely Allah swt would not lose a single thing if one of his servants forgot to thank Him.
dan ikhwah sekalian, berdoalah seperti kita tidak pernah berdoa dengan doa yang meletakkan setinggi-tinggi pengharapan. Allah kan ada.
 

IniAkmalG Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger Templates